Ahad, 11 Disember 2011

SIMPUL TERLILIT



Berat mata memandang
antara nyata dan sumbang
setakat menyedap sembang
mendesak telinga mendengar
antara palsu dan benar
khabar berliku cerita onar

berbuih mulut tika bicara
antara telus dan dusta
caci maki hamun dan hina
menguji sabar hati teruja
antara benci dan suka
tipu daya meruntun setia

banyak akal diguna terima
antara rela dan paksa 
sehingga hilang rasa percaya
apa guna ketawa terbahak
mengeluarkan kata-kata lunak
enak merdu jelak membenak

ucapan beranika alasan
janji manis kata hiasan
ungkapan indah hanya kiasan
ada maksud yang tersirat
membawa erti yang tersurat
seribu makna yang menjerat

di sebalik rahsia terselit
dalam lakonan simpul terlilit
di belakang tabir kisah berbelit
dihurai nanti terburai
dilerai mudah berkecai
menilai tak pernah selesai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan