Sabtu, 11 Mei 2013

BUAH HATI KU



Memaku titi di tepilah permatang

bertiang empat kayu mengkudu
ku nanti adinda berkunjung datang
untuk mengubat hati yang rindu

Di tepi telaga pohon mengkudu
tempat kelawar membuat sarang
hanyalah adinda penawar rindu
buahlah hati kekanda seorang

Khamis, 9 Mei 2013

DI SUDUT HATI



Dahan rendang pohon meranti
redup berbayang tempat bertemu
daku menumpang di sudut hati
hidup terbuang di kala kau jemu

Angin berpusar bertukar ribut
terpancar di langit si halilintar
laksana pohon berdahan reput
burung hinggap hanya sebentar

KASIHNYA KANDA



Pohon rembia ditebang tebang

mengambil sagu lemak berpati
jangan adinda merasa bimbang
kasihnya kekanda sepenuh hati

Pohon meranti di tepi lata
lebat berdaun di hujung dahan
kalaulah benar bagai dikata
nyawa di badan jadi taruhan

Pohon meranti dari seberang 

tumbuhnya liar di rumpun lalang
hati ku kasih adinda seorang
tiada siapa dapat menghalang

Sabtu, 4 Mei 2013

NADI HARI


Pagi lama merangkak jauh
tengahari sudah berlari pantas

petang tersasar ke garisan senja

sinar nadi hari bertambah pudar
mentari semakin tenggelam
mega merah beransur kelam

waktu berlalu jadi detik sejarah
dibawa angin tak ketentuan arah
dilambai lamaran samar malam 

Khamis, 2 Mei 2013

KU UNDUR DIRI



Bungalah raya di dalam taman

kumbang datang untuk menyeri
selamat berbahagia wahai teman
biarkan saja ku mengundur diri

Berbuah lebat pohon kepayang
patah ditimpa dahan meranti
pergilah intan pergilah sayang
semoga dikau senang di hati

SEMOGA KAU BERBAHAGIA



Kelapa rintik di tepi sempadan

santan lemak campur makanan
samalah cantik sama sepadan
semoga berbahagia ku doakan

Kelapa mawar lebat berbuah

melambai dibelai bayu pagi
sudah dapat gading bertuah
tanduklah tidak berguna lagi