Khamis, 14 November 2013

SETIA KASIH


Harum bau bunga melati
tumbuh di tepi sawah padi
jujur setia seikhlas hati
tutur bicara semulia budi

Bunga melati sibunga tanjung
melur kembang di sudut sana
jujur setia kasih disanjung
bicara mesra membuai lena

MAKAN HATI KERABU JANTUNG


Bunga mekar di dalam taman
Si kumbang jati hatinya ceria
Hidup sendiri tidak berteman
Dalam kesepian ada bahagia

Patah terkulai si dahan meranti
Terbelit akar sangkut tergantung
Alahai hidup seorang makan hati
Hidup berdua berkerabu jantung

Patah terbelit dahan meranti
jatuh menjunam ke lurah bukit
bukan senang cari pengganti
selagilah hati ku terasa sakit


KU PUJUK HATI



Hujanlah lebat di waktu senja
Tengah malam baru berhenti
Hilang tempat hendak bermanja
Tidakkan boleh ku cari ganti

Embun menitis sejak malam
Sejuk dan dingin ke pagi hari
Dalam resah kelam berbalam
Ku pujuk hati membawa diri

Hujan gerimis di pagi hari
Terasa sejuk dinginlah pula
Biarlahku pujuk hati sendiri
Semoga tenang ceria semula



Jumaat, 8 November 2013

MAWAR MENGUNTUM DI HATI


Tanam selasih di tepi halaman
benih tersebar dibawa angin
bolehkah hamba jadikan teman
di dalam hati sudah teringin

Di petang hari anyam ketupat
untuk hidangan di hari raya
kasihnya puan sudah bertempat
namunlah tidak kepada saya

Tegak rimbun si pohon larah
patah dahannya ditimpa jati
kepada Allah hamba berserah
moga menguntum mawar di hati

Tebang meranti menimpa jati
tiadalah lagi burung bersarang
sayangkan diri kasihkan hati
jangan biarkan hidup seorang

Dahan yang rapuh jangan dipaut
nantilah jatuh ke kolam ikan
jodoh pertemuan ajal dan maut
kita merencana Allah menentukan

RINDU KASIH DAN SAYANG


Menabur selasih di tepi titi
Tumbuh melata keliling padang
Puas ku luah hasrat di hati
Tiada siapa sudi memandang

Padi tuan sebendang dituai

Padi hamba dirunduk angin
Belum bertemu yang sesuai
Tapi hati mendesak teringin

Kebaya labuh kerongsang intan

Berkain batik buat basahan
Jikalau jodoh belum suratan
Terimalah sahaja Qadaan Tuhan

Tabur melayang benih selasih

Tumbuh melata di tepi laman
Datang sayang menjelma kasih
Rindu rasanya hendak berteman

Makan berhidang berjemput tamu

bersayur umbut berlauk haruan
Selagi kekasih belum ku temu
Tidak ku lupa pada mu puan

Tabur melayang benih selasih

Tumbuh melata di tepi laman
Datang sayang menjelma kasih
Rindu rasa hendak berteman

Bunga selasih harum baunya

Terkulai layu dipetik tangan
Sayang puan sudah berpunya
Kecewa hamba dibuai angan

Mata ku pejam tak lena-lena

Asyik terkenang desa seberang
Rindu kasih dimana-mana
Kekasih idaman puan seorang

Bunga selasih cantik laksana

Mekar kembang di tepi halaman
Biarlah badan hidup merana
Puanlah juga menjadi idaman

Sirih pinang sudah berjampi

Dimakan dara di tepi telaga
Tidur malam termimpi-mimpi
Wajah mu jelma daku terjaga







BUDI TUAN SI BUDI HAMBA


Padi tuan si padi panjang
Padi hamba padinya bukit
Budi tuan budi dikenang
Budi hamba hanya sedikit

Padi tuan bendang seberang
Padi hamba tumbuh melata
Budi tuan dipandang orang
Budi hamba tak nampak di mata

Padi tuan padi siantan
Padi hamba berbunga rumput
Budi tuan segunung intan
Budi hamba hanya sejemput

Padi tuan padi malinja
padi hamba beras melukut
Budi tuan budi dipuja
Budi hamba tidak disebut

Padi tuan runduk berisi
Padi hamba terkulai layu
Diri tuan ramai di sisi
Diri hamba merintih sayu

ALAHAI SI BUAH HATI


Diratah badai bahtera di laut
Menanti karam patah kemudi
Bagai hilang tempat berpaut
Insan disayang sudah tak sudi

Kapal Belayar haluan kemudi

Bertali layar sebidang kain
Si buah hati sudah tak sudi
Sudah mendapat kekasih lain

Rempuh laut langit jerebu

Tidak nampak pulau seberang
Patahlah hati retak seribu
Kekasih hati dikebas orang

Di tepi pantai indah berseri

Ramai yang datang menaiki bas
Sedang berantai lagikan lari
Inikanlah pula terlepas bebas

Kapal berlabuh teluk setawar

Panglima turun datang mengadap
Ku cuba dapat si bunga mawar
Rupanya hanya sibungalah dedap

Kapal belayar ke tanah seberang

Bawa muatan papan meranti
Kekasihlah hati dirampas orang
Tiada ku dapat mencari ganti

Tegak meninggi pohon meranti

Tumbuh di paya tepi sempadan
Kalau tak dapat hajat di hati
Alamat rosak merana badan

Bubuhlah garam dalam rendang

Janganlah lupa bersama serai
Karam di laut dapat ku renang
Karam di hati airmata berderai

Ramai orang pergi ke laut

Sampan berikat tali belati
Kalau hati sudah terpaut
Amat payah bertukar ganti

Batang selasih jangan dilurut

Kalau dilurut gugur daunnya
Nasib ku malang sudah berlarut
Merana juga sudah akhirnya

Ramai orang ke desa tualang

Perahu luncur sampai ke darat
Beginilah nasib diriku malang
Alahai hati hancur jiwa melarat

HINANYA SI MISKIN


Anak seluang di dalam timba
Mati kerana putus ekornya
Apa dipandang kepada hamba
Rupa tiada harta tak punya

Dalam hati sudah tersirat
Dilihat dik mata sudah tersurat
Hina besi kerana berkarat
Hina hamba dagang merempat

Indah sungguh desa seberang
Udara bersih tidak tercemar
Rupa tiada berbudi kurang
Laku buruk orang tak gemar

Sungguh nyaman duduk di pangkin
Angin bertiup darilah bendang
Beginilah nasib hamba yang miskin
Tiada sesiapa sudi memandang

Pergi pasar membeli kerang
Lalu di bubuh ke raga rotan
Laku hamba serbalah kurang
Segala jasa menjadi umpatan

Bungalah mawar tangkai berduri
Mekar kembang di desa seberang
Bukan tujuan merendahkan diri
Hamba tersisih dihina dik orang

Kesana kesini si burung kuang
Buat sarang dipangkal berangan
Begitulah nasib diri terbuang
Ku hidup terpinggir keseorangan

Rumah di tepi sawahlah padi
Telah usang lama terbina
Cuba berjasa menabur budi
Mengapa diriku terus dihina

Bersarang burung pohon senia
Memakan buahnya berbiji biji
Beginilah hidup insan di di dunia
Yang miskin dihina si kaya dipuji




Rabu, 6 November 2013

SELASIH KU



Layang ditabur benih selasih

Melata tumbuh di hujung titi
Sayang hamba pengikat kasih
Kenapa harta sanjungan hati

Selasih tuan berbunga lebat
Selasih hamba berbunga hampa
Kasih tuan kasih bertempat
Kasih hamba tiada sesiapa

Selasih tuan selasih tanjung
Selasih hamba di tepi padang
Kasih tuan kasih disanjung
Kasih hamba dibias pandang