Rabu, 31 Julai 2013

MENGHARAP BELAS RAJUK KEKASIH


Kalau jejak permatang bendang
lopak berair lumpur berselut
semenjak lama tidak ku pandang
namamu sentiasa meniti di mulut

Airlah sejuk bercampur selasih
di dalam gelas nampak berbayang
hendak merajuk pada yang kasih
mengharap belas dari yang sayang

Si burung kelicap terbang senja
sesudah kenyang balik ke sarang
dapat sekejap menumpang manja
kini hamba ditinggalkan seorang



DI SINI RINDU DI SANA TERKENANG



Benih selasih sena melayang
semai lada di Tanjung Jati
di sini kasih di sana sayang
belahan jiwa si jantung hati

Anaklah berudu terenang renang
disambar pekaka terbang melayang
disini merindu di sana terkenang
pada kedua-duanya di hati sayang

Isnin, 22 Julai 2013

JANJI



Menyemai keranji di tepi titi
di situ tempat menjemur kain
ramai berjanji sehidup semati
namun di hati pada yang lain

Kalau mengait buah keranji
pohon rimbun bagai berbaja
apalah guna suka berjanji
hanya manis di bibir sahaja


TEPAK KAYU



Tepak berukir si tepak kayu

sirih berpinang tersusun rapi
buat tak nampak saya merayu
rasa tersisih dibuang ketepi

Tepak berukir kayu dedalu
dialas dengan dulang tembaga
tuan hanya berulang lalu
masa kan tidak perasan juga

Tepak berukir kayu meranti
dihias dengan saduran perak
puas hamba di situ menanti
bagai terlekat tidak bergerak

Tepak ukiran si pucuk lada
dibalut pula dengann kain
hamba di situ puan pun ada
tapi menyapa si orang lain

Khamis, 18 Julai 2013

KENANGAN BUDI


Padi di bendang selasih tanjung
Keli permatang berenang-renang
Budi dikenang kasih disanjung
Sekali pandang terkenang-kenang

Selasa, 16 Julai 2013

BISA SEMBILU


Tanam tebu semanis rasa

disiram dengan air telaga
jika tahu sembilu berbisa
mengapa buluh diraut juga

Airlah tebu di pasar sehari
dijual budak di atas peti
bisa sembilu menghiris jari
pedih kata menusuk hati



Isnin, 15 Julai 2013

PAPARAN RINDU


Pohon mengkudu di tanah rata
tempat merbah mencari pasangan
paparan rindu di ruang mata
terbayang indah dipelupuk angan

Pohon medang ditimpa mengkudu
batang condong bertongkat keluli
dakulah seorang sahaja merindu
orang yang dikenang tidak peduli

Pohon mengkudu tumbuh di hulu
tempat sarang burung pekaka
hati ku pilu semenjak dahulu
merindu pada orang tak suka

Sabtu, 13 Julai 2013

ALAHAI





Biarlah aku pergi
biarlah aku mengundur diri
ku sedar siapalah aku ini
hanya menumpang di sudut hati

Jangan ditanya aku kemana

aku tetap di sini sahaja
sudah hilang tempat bermanja
ingin ku pujuk hati yang lara

Bagai melukut di tepi gantang
masuk tak cukup keluar tak kurang
bukan merajuk atau sebarang
hanya ku ingin berhati tenang

Bukan sudah aku tak sayang
bukan kerana tak sudi memandang
tidak ku mahu menyusahkan orang
namun tiada di mata di hati tak hilang