Isnin, 25 Februari 2013

KETENTUAN TUHAN


Tumbuh melata pohon selasih

di celah-celah si rumpun serai
usahlah derita terputus kasih
nyawa dan badan lagi bercerai

Rumpun serai bersama selasih
ditimpalah dahan habis binasa
berat sungguh bercerai kasih
sudah suratan badan terseksa

Pohon meranti lebat berdahan
melilit berpaut si pohon rotan
segalanya menjadi rahsia Tuhan
berserah pada ketentuan suratan


Ahad, 24 Februari 2013

BULAN DAN BINTANG



Kebun berada di tepi rimba
banyak tumbuh pohon kekabu
pungguk sedih berhati hiba
bulan berteman bintang beribu

tinggilah tinggi pohon meranti
patah menimpa dahan sentang
tabah pungguk rindu menanti
bulan sedang ditawan bintang

BUDI DAN NYAWA




Cincin delima berbatu sakti

dipakai pendekar waktu berjalan
biar berbudi berjasa berbakti
jujur dan ikhlas jadikan amalan

Kutip nenas ladang seberang
di tepi batas sebendang padi
biarlah emas dipandang orang
hamba seorang memandang budi




KERANA BUDI TARUHAN NYAWA






Habislah patah si batang pinang
ditimpa oleh pokok kelapa
budi yang baik selalu dikenang
jasa dan bakti takkan dilupa

Burung balam terbang petang
hinggap di dahan berantig tiga
kerana budi badan terhutang
walau tak sanggup terpaksa juga

JASA BUAT INGATAN




Sungai deras jeram berbatu
mula tenang sampai ke tanjung
terima kasih sudi membantu
jasa baik sentiasa disanjung

Semak sungguh tepi telaga
banyak tumbuh si pohon rotan
barang lepas nak dikenang juga
selagi bernyawa buat ingatan



RAJUK SENDIRI



Karam bahtera dipukul gelombang

dik badai gelora se dari petang
kemanalah pergi buah hati abang
puas dinanti tak kunjung datang

Layar kembang ditiup angin
ditariklah pula tali kemudi
dalam hati hasrat teringin
kasih tertumpah sidia tak sudi

Di bendang menguning padi
pipit di sawah terbang lari
sudah semuanya tidak sudi
biarlah daku membawa diri

AKU RINDU


Pohon mengkudu ditimpa tualang
habis selerak si daun pauh
hatiku rindu bukan kepalang
bila terkenang si orang jauh

Tumbuh di rimba pohon meranti
burung hinggap di waktu petang
puaslah sudah hamba menanti
orang dirindu tak kunjung datang

Tegak rimbun pohon tembusu
di celah ranting bersarang balam
kenapa menyepi diam membisu
daku merindu siang dan malam

Sabtu, 23 Februari 2013

ADUHAI MALANG NASIB KU


Karatlah loyang besi berkikis
ditempa orang serbuk bertapis
denak berguru ilmu penangkis
panah arjuna tersasar ditepis

Pedang penglima besi khursani
badan berlilit selempang rantai
sungguh malang nasib ku ini
minyak pengasih tumpah di lantai

BERKECAI


Jemuran diangkat lalu dilipat
disimpan pula di atas peti
nasib malang tenungan makrifat
hancur luluh berkecai di hati

Pergi ke kebun mengutip kacang
untuk jualan bawa ke pekan
kita hanya mampu merancang
Tuhan saja yang menentukan

UNTUK MU


Melilit berbelit semalu gajah
merimbun pohon si tanduk rusa
manis senyuman dihias wajah
lemah lembut berbudi bahasa

Pohon kundang durian belanda
tumbuh subur di kebun lada
bila ku pandang wajah adinda
rasa bergegar iman di dada

Kelopak terbuka si bunga pakma
membiak subur di tepi bendang
si cantik manis memikat sukma
tidaklah jemu mata memandang

KARAM



Di waktu senja camar pun pulang
terus menuju ke dalam sarang
beginilah nasib diriku yang malang
berdayung berdua karam seorang

Di malam hari cuaca tenang
sang puteri lena beradu
lautan api lagi ku renang
kenapa karam di tasik madu

Jumaat, 22 Februari 2013

USAH DIDUGA LAUTAN DALAM


Limau purut berbuah di pangkal

tumbuh subur di tepi telaga
jikalau kail panjang sejengkal
lautan dalam jangan diduga

pipit makan padi di bendang
kicau riang berbunyi hingar
cakap siang pandang-pandang
berbicara malam dengar-dengar

SEKADAR MENYAPA


Lebat berbuah pohon mengkudu
condong berikat dengannya tali
daku terkenang terindu-rindu
orang di sana tak ambil peduli

Tinggi-tinggi pohon kelapa
tempat bersarang si burung balam
hendak dilupa tak boleh lupa
asyik teringat siang dan malam

KEHENDAK HATI


Kalau condong pohon cenerai

ditongkat kayu bercabang tiga
hajat di hati tak mahu bercerai
kehendak hati terpaksa juga

Subur bakau di tanah basah
dibuat orang penambat perahu
niat di hati tak mahu berpisah
kehendak Allah siapa yang tahu

INGIN KU BAWA DIRI


Sedangnya arus mengalir laju

deras memukul rakit ke hulu
akan diredah setakat termampu
kemanalah hasrat membawa diri

Sayang kelubi rasanya masam
tumbuh melata di tepi paya
redang tempat burung bersarang
Apalah malang nasibku suram
bagai mendung kelam cahaya
kerana diri tak digemari orang

HILANG GELORA DITENANG BAYU


Mengail pagi dapat tenggiri
masak asam bercampur limau
kasturi lebat di tepi paya
kemana hala nak ku bawa diri
lari di darat dimakan harimau
masuk ke air ditelan buaya

Buah kelapa buah bersabut
jatuh ke tanah tidakkan lesut
lagi ditenang tambah serabut
jika berdiam menjadi kusut

Lata jeram berbatu-batu
air tejun lubuk berpusing
sahabat handai jika membantu
hilang beban fikiran runsing


DI TATANG PUN TUMPAH INIKAN PULA SI BERAS MELUKUT


Ikan talang dimasak rempah
isinya keras dihiris-hiris
yang bertatang lagikan tumpah
inikan pula dibelanga tiris

Angkara pikat burung tersangkut

makan di tanah si burung kuang
hidupku umpama beras melukut
ditampilah orang sisih terbuang

DIRIKU BAGAIKAN DEBU


Jampi mentera jadi penangkal
bara kemenyan di dalam talam
kail hanya panjang sejengkal
manakan terduga lautan dalam

Diratah badai bahtera di laut
menanti karam patah kemudi
bagai hilang tempat berpaut
insan disayang sudah tak sudi

Setinggi gunung tidak terdaki
banyak terdapat lurah berjurang
daku bak debu mencemari kaki
tersingkir setelah dicuci orang

BIARKAN RAJUK DI HATI HAMBA



Buat perabut darinya rotan
tidak setinggi nilainya jati
biar ku hidup sunyi di hutan
agar hilang gelora di hati

Ayamlah hutan di sangkar rotan
berkokok nyaring di waktu petang
biarlah daku tinggal di hutan
entah puteri bunian yang datang

Tanam benih di tapak semaian
bila berbunga cantik di mata
kalau dilamar puteri bunian
hilanglah hamba di alam nyata


TIDAK KU SANGGUP HIDUP GELORA


Panasnya hari di tengah rembang
habislah layu dedaun rumput
tidak sanggup merempuh gelombang
perahu ku kecil pendayung reput

Kerana angin runtuhlah para
ditimpa dahan pohon pulasan
hajat hendak rempuh gelora
bimbang hati karam kelemasan

Papan meranti dibuat para
diikat dengan tali berjela
bukan setakat takut gelora
duduk di pantai hati tak rela









INDAH HANYA DI MATA SAYA



Kalau penuh muatan di sampan
ke Pulau Kampai Padang seberang
perkara buruk perlu di simpan
janganlah sampai diketahui orang

Pulau Kampai Padang seberang
tumbuh melata keladi di paya
biarlah buruk dipandang orang
tetapi tidaklah di mata saya

ADUHAI NASIB KU MALANG



Burunglah merak si burung kuang
sedang mengigal bagai bermegah
ibaratnya sampah hanyut terbuang
dimana sangkut disitu menyinggah

Bila terkenang wajah terbayang
selaginya ada nadi berdenyut
daku kasih orang tak sayang
diri umpama tempurung hanyut


TERSANGKUT DI HATI





Pohon mengkudu bersarang kelicap
berlilit keliling si akar dedalu
bertandang rindu manakan terucap
jika boleh berdamping selalu

Burung kelicap di pohon ara
lalu terbang ke pokok kelapa
sudah lama berkenal mesra
bilakah masa dapat berjumpa



USAH DITURUTKAN HATI YANG SAYU


Kalau serong memotong kayu
rencong papan tersalah ketam
jangan diturut hati yang sayu
usah semendung si awan hitam

Kayu serong dibuatkan alu
diketam licin ditarah-tarah
awan mendung biar berlalu
langit hitam bertukar cerah

ADUHAI MALANG



Bancuhan air si limau purut
campur gula manisnya rasa
hati yang sedih jangan diturut
kelak nanti badan binasa

sedap rasanya si ikan salai
nasi berpandan si beras padi
harapan hati ingin dibelai
malang tiada orang yang sudi

Limau kasturi si limau purut
tumbuh subur di tanah rata
hati yang resah usah diturut
kalau diturut badan derita

KEHILANGAN DALAM KENANGAN



Bahtera kayu belayar malam
tuju pulau Tanjung Karangan
tiada khabar kiriman salam
kasih hilang dalam kenangan

Kalau tanjung rebak ke laut
pasir berderai dihakis ombak
malang tiada tempat berpaut
hati berduka menjadi sebak

Perahu karam di beting pasir
ketika belayar menuju muara
lembut bisikan angin berdesir
berdetak rindu terdengar suara

KALA RINDU BERTAMU



Kala rindu datang bertamu
membuka jendela hati ku
lalu ku kirimkan bisikan merdu
di angin yang sedang lalu
hanyalah untuk mu
Ku sangka berbalas pujukan rayu
namun dibakar api cemburu 
membuat hati ku bertambah sayu ...

Ahad, 3 Februari 2013

BERTATANG PUN TERTUMPAH


Kayu sentang buat terompah
dibeli orang di pekan sehari
sedang bertatang pun tumpah
inikan pula dibawa berlari

Kayu terompah si batang pulai
diambil orang ditepi telaga
sudah puas ku tatang belai
berhati-hati tertumpah juga

Kasihan nasib kasut terompah
buruk dibuat pembakar sampah
dalam baldi di sangka tak tumpah
tersilap bawa jatuh melimpah

Pakai terompah ke Hulu Kenuh
balik ke rumah ditengahari
puas ditatang bak minyak penuh
tapi tak dihargai kasih diberi



DAKAPAN DERITA


Kelapa gading lebat berbuah
tempat murai berkicau pagi
sudah dapat gading bertuah
tanduk tidak berguna lagi

Buah keranji di hujung titi
manakan sama si buah ara
biarlah resah gelora di hati
biar ku pujuk jiwa nan lara

Sayang bunga pohon selasih
ditiup angin condong ke kiri
tidak ku rela berkongsi kasih
biar ku saja mengundur diri

Bunga lalang terbang melayang
dibawa angin ke tanah rata
moga bahagia hidupmu sayang
biarku duka mendakap derita