Ahad, 31 Mac 2013

KASIH SAYANG JUJUR SETIA



Selasih mayang di hujung titi

titilah kayu si batang meranti
kasih sayang bersulam di hati
jujur dan setia bawa ke mati

Selasih ditimpa dik hujan lebat

masih hidup walau terendam
kasih hamba padamu sahabat
rasa rindu tak pernah padam

DIGAMIT RINDU




Di hutan rimba sempadan gua
di situ tempat kelawar bersarang
masa berpanas kering berdua
di dalam hujan basahku seorang

Burung lelayang melayang-layang

burung belibis terenang-renang
rindu siang ku terbayang-bayang
rindu malam terkenang-kenang



Ahad, 24 Mac 2013

TERBAYANG WAJAH



Tegak rendang durian belanda
disapa angin bergoyang-goyang
bila terkenang padamu adinda
di ruang mata terbayang-bayang

Tegak meninggi pohon tembusu
tempat bersarang si burung senja
kenapa adinda diam membisu
hatiku terkenang pada mu sahaja

Jumaat, 22 Mac 2013

BIARLAH LARA




Bergalah rakit di air tenang

usah sampai hanyut ke tepi
hati ku sakit bila terkenang
nak dilupa termimpi-mimpi

Jika berkolek pergi ke hulu
usah sampai hanyut ke muara
biarlah hamba pergi dahulu
asalkan dikau aman sejahtera

Khamis, 21 Mac 2013

RAJUK ADINDA PUJUKAN KANDA


Pungguk hiba di pohon kayu
rela berembun sehingga sejuk
puaslah sudah memujuk rayu
kenapa adinda masih merajuk

Puas dinanti bulan menjelma
pungguk merayu pilu melanda
marilah adinda pujaan sukma
apalah dirajuk pada kekanda

KEMARAU DI MUARA HATI



Sudahlah retak si kaca gelas

jangan sampai pecah berderai
senyum diberi tanpa berbalas
petanda kasih hampir terlerai

Gelaslah kaca dicuci bersih
jatuh ke batu kecai bersepai
putuslah sudah ikatan kasih
kecewa diri hajat tak sampai

Gelaslah kaca berisi kanji
setelah guna kenalah cuci
masa berkasih dipuja puji
sudah berpisah hina dicaci

Rabu, 20 Mac 2013

MESRA TAUTAN HATI



Catatan kalam tinta persuratan

indah tulisan tertera sebati
ucap dan salam tanda ingatan
ikatan mesra mekar di hati

Tercatat indah tulisan tinta
tersususn madah secantik rupa
biar hilang dipandangan mata
namun di hati tidakkan melupa

Selasa, 19 Mac 2013

RINDU HIASAN HIDUP




Ketika petang menjelang senja

sinar mentari mulalah redup
kenapa daku terkenang sahaja
rindu menjadi hiasan hidup

Mega suram di senja mentari
tika tenggelam diawang-awangan
malang sungguh nasibnya diri
asyik memuja merindu bayangan

WAJAH AYU BERHATI HITAM



Licinlah kayu jika diketam
bingkai dinding dialas tabir
wajah ayu berhati hitam
bicara bisa mainan di bibir

licinlah kayu kerana di ketam
nampak berkilat kemas sentiasa
memang dah tahu berhati hitam
dik kata bicara bercanggah rasa

sungguh keras si batang kayu
jika ditetak dengannya parang
puaslah sudah memujuk rayu
puas digilap tak juga terang


Isnin, 18 Mac 2013

DISAPA RINDU


Burung pipit di pohon lalang
terus terbang ke pohon kelapa
hati merindu bagaikan hilang
dik tiba-tiba adinda menyapa

Burung pipit di pohon lalang
terbang hinggap dahan dedalu
jika kerja jadi penghalang
pesan rindu di angin lalu

TARUHAN BUDI



Masak rendang dicampur halia
janganlah lupa cili dan bawang
harta segunung tak tentu bahagia
harapkan budi tak juga senang

Sawah lebar menguning padi
di tepi kebun buah-buahan
orang takut termakan budi
takutlah badan jadi taruhan

BUDI DAN NYAWA


Helang terbang tinggi ke awan
setelah penat hinggap di dahan
kerana budi hati tertawan
rela nyawaku jadi taruhan

Terbang sekawan burung merpati
hinggap di atas dahan pulasan
biarlah berbudi seikhlas hati
janganlah pula harap balasan

BERMAAFAN TIADA KEIKHLASAN


Reputlah kayu kalau terendam
dibiar berhujan bersama papan
buruknya laku jika berdendam
bermaaf-maafan sekadar ucapan

Papan dijemur menjadi ringan
terkena asap hitam berjelaga
bermaafan serta berjabat tangan
mengapa muka berpaling juga

TIDAK SIAPA SUDI MEMANDANG



Ke pekan Selasa membeli timba
supaya senang mengisi barang
begitulah nasib dirinya hamba
mandi berdua basah ku seorang

Kalau ke pasar beli haruan

jangan lupa membeli kerang
sungguh buruk rupa ku puan
harta tiada berbudi kurang




PENAWAR DUKA TUBA BERBISA




Pergi mengail ikan pelotan
boleh dibuat masak bercuka
sudah nasib jadi suratan
diri ku miskin siapa yang suka

Ikan pelotan dimasak cuka

bercampur lada enaknya rasa
puas ku cari penawar duka
hanya ku dapat tuba berbisa



SANJUNGAN JIWA


Merpati terbang tinggi melayang
mencari kawan di hujung tanjung
terima kasih adindaku sayang
jasa berbudi sentiasa ku sanjung

Terbang sayup tinggi di angkasa

mencari makan ke tanah juga
berdoa aku pada Yang Esa
ku serah nyawa, jiwa dan raga

BENCI


Pasang jaring merpati tersangkut
dipasang budak di tepi padang

tak sangka diriku sebutir melukut
tiadalah siapa sudi memandang

Burung merpati berkawan-kawan

hinggap di dahan si pohon pala
hendak ku hibur hati nan rawan
ku cuba ketawa menangis pula

Sabtu, 16 Mac 2013

ALAHAI NASIB KU ....



Nyiur melambai di tepi pantai
angin gemulai bertiuplah lembut
daku menjenguk terintai-intai
selalu menyapa tiada bersambut

Ombak berlari laut tak tenang
mara meluncur gerak perahu
daku sahaja terkenang-kenang
orang membenci aku tak tahu