Selasa, 29 Mei 2012

TITIAN USANG



Umpama sebatang titi usang
hanya satu laluan tuju seberang
enggan dilalui tapi terpaksa
kerana kehendak ditempuh jua

tiang senget gelegar reput
lantai rapuh penghadang barai
langkah meniti bagaikan semut
jika gelincir jatuh ke sungai

manalah hati tak rasa bimbang
resah kepalang nyawa melayang
andai runtuh tiada tempat berpaut
salah melangkah menempah maut

Khamis, 17 Mei 2012

KASIH LERAI DI HATI MEMUJA





SI JAGUH MAYA


Bak sungai mengalir merentasi tebing lesu

bagai tak menyinggah hembusan bayu 
laksana perginya embun di mentari cemburu
kau hanya diam membisu lantas berlalu

setiap kali bersua walau sedetik cuma

bibir mu kaku rapat tidak mesra menyapa
lidah kelu tanpa bisikan atau bersuara
muka menunduk menyorok pandangan mata

Akan tetapi bicara mu di alam maya

umpama seekor si ayam laga jadi juara
berderai kokok mu mengempita suasana
riuh rendah megah di penjuru desa ....

Ahad, 6 Mei 2012

GUSAR


Ombak bertukar gelombang

mula menerjah pulau berbatu
menawan pantai semakin hakis
pepasir berderai diratah ke laut

mentari semakin gusar

bakal berlabuh di penjuru barat
bila senja kehilangan riak
ditelan malam semakin malap

angin mula tandang meningkah
mendung hitam tak menentu arah
langit terbentang bertambah cerah
bulan bakal mengambang megah

biarlah pungguk merayu mendayu sepi
agar hilang segala gundah di hati