Isnin, 28 Januari 2013

TAK TERDUGA LAUTAN DALAM


Lurus batang pokok lengkuas
bunga harum di waktu malam
cuba ku renangi lautan luas
tidak terdaya untuk diselam

Bagaikan siang berganti malam
cahaya nan terang bertukar kelam
umpama menduga lautan dalam
mampukah direnang juga diselam

Jampi mentera jadi penangkal
bara kemiyan di dalam talam
kail hanya panjang sejengkal
manakan terduga lautan dalam


TERUMBANG AMBING



Bunga menyerah rayuan kumbang
semakin layu berguguran di tebing
pendayung patah layar tak kembang
perahu hanyut terumbang ambing

Layu bunga di ranting berpaut
hilang serinya di tepi halaman
hanyut perahu di tengah laut
dipukul badai hilang pedoman

Diratah badai bahtera di laut
menanti karam patah kemudi
bagai hilang tempat berpaut
insan disayang sudah tak sudi






HANCUR LULUH



Kalau nangka berbuah di pangkal
janganlah pula busuk batangnya
Kasihnya kanda usah disangkal
andai diragu susahlah datangnya

Lebat berdaun pohon berangan
tumbuh di celah bukit berseri
jinak merpati makan di tangan
hendak ditangkap terbang lari

Makan kuih terasanya enak
sambil bersimpuh di atas tikar
jikalau kena padanya denak
risau penuh burung di sangkar










LUAHAN SI KUMBANG


Kail berumpan anak gelama
bertali tangsi batang meranti
sudah ku simpan sekian lama
barulah terluah hasrat di hati

Di tepi sungai merayap si ketam
lalu di tangkap bawa ke laman
kasihan nasib si kumbang hitam
bunga idaman sudah berteman

Seberang sungai berdayung sampan
untuk mengutip buah berangan
kumbang sayu menanti harapan
memuja bunga di taman larangan

DEBU TUBA



Tikar dianyam malam selasa
daun mengkuang panjang berjela
kalau tertuba teramat bisa
bukan senang ditawar semula

tikar dianyam tersusun rapi
dilurut-lurut supaya rata
patahlah arang bakar ke api
debunya pula masuk ke mata

BERPATAH ARANG



Jika mengutip si paku rawan
banyak tumbuh di tepi rimba
segelas air di dalam cawan
bukan penawar tetapi tuba

Paku rawan di hujung tanjung
dmasak lemak santan berlada
putus benang boleh di sambung
patah arang bersambung tiada

Paku rawan tumbuh melata
dimasak orang brsama santan
biar hilang dipandangan mata
semoga lenyap dari ingatan

BERINGATLAH



Pasaklah baji kayu merawan
retak seribu gelong telaga
nampak tenang air di cawan
sekali sekala berkocak juga

Andai terlucut si kayu alang
kekuda jatuh bersama rabung
beringat-ingat sebelum hilang
patah arang tak boleh disambung

Gelegar patah reput di dalam
bendul terjungkit ditimpa tiang
bersuluh terang di waktu malam
nanti menghilang di masa siang

JIKA SETUJU



Kalau pahit biji ketumbar
pahitlah lagi rasa lemuju
sepantas helang menyambar
jika adinda sudah setuju

Ditiup angin pohon mengkudu
jatuh melayang berhelaian daun
hati ku kini teramatlah rindu
sehari tak jumpa bagai setahun

LUKA DI HATI



Pasang surut si airlah laut
habis tanah muara tenggelam
dahan tiada tempat berpaut
mana terubat luka yang dalam

Hujan di hulu tughunnye lebat
hanyut titi hendak ke seberang
luka di tangan senang di ubat
calar di hati tanggung seorang


KASIHNYA KANDA




Pohon rembia ditebang tebang
mengambil sagu lemak berpati
jangan adinda merasa bimbang
kasihnya kanda sepenuh hati

Pohon meranti di tepi lata
lebat berdaun di hujung dahan
kalaulah benar bagai dikata
nyawa di badan jadi taruhan

Pohon kelapa tepi sempadan
tempat bersarang si rama-rama
sebelum nyawa hilang di badan
sudikah adinda turut bersama








SI PUNGGUK MERINDU


Kalau menabur si bunga rampai
semerbak harum bau setanggi
peluk gunung tangan tak sampai
ku jolok bulan galah tak tinggi

pungguk hiba di pucuk kayu
pohon bernama pokok gerharu
puas sudah memujuk rayu
bulan dipuja buat tak tahu

Kalau tuan pergi ke Rengit
datang pagi pulangnya senja
selagi bulan terbit di langit
pungguk tak jemu terus memuja



MENUMPANG KASIH



Angin bertiup bergoncang jati
patah dahan menimpa kelapa
hilangkan resah gundah di hati
jika merindu datang berjumpa

Rimbun semalu tumbuh melata
habis melitup di tanah rata
bila mata bertentang mata
lidah kelu tak dapat berkata

Buat tapai dicampur ragi
rasanya manis tidak terperi
hasrat hati tak sampai lagi
biarlah dulu hidup sendiri











SERI BUDI SEINDAH HATI



Perahu kolek papan berpaku
gerak meluncur pergi seberang
biar molek tingkah dan laku
setiap masa disanjung orang

Pergi mengail ikan haruan
dapat se ekor berat sekati
biarlah buruk rupa mu tuan
asal berbudi juga berbakti

Berangan di cari di atas bukit
banyak pula lurah berbatu
budi mu tuan bukan sedikit
jadi sanjungan setiap waktu

Naik perahu pergi seberang
meluncur air perlahan-lahan
biar tak nampak di mata orang
asalkan mulia diberkati Tuhan











MENANTI HARI BAHAGIA



Pokok lada tumbuh melata
di dalam kebun pohon kelapa
kalaulah ada jodohnya kita
di hari bahagia kita berjumpa

Rimbun tinggi pohon meranti
dahan jatuh menimpa kelapa
hari bahagia selalu di nanti
tidak sabar rasa nak jumpa

Embun turun di waktu pagi
menitis ke daun pokok lemba
hari bahagia tak lama lagi
pasti ku nanti adinda tiba


TERBAYANG



Hanyut perahu ke kuala tanjung
pendayung patah kayu meranti
budi adinda sangat ku sanjung
akan ku kenang sampai ke mati

Saratlah sampan buah kelapa
ke hilir mudik balik ke hulu
padamu adinda tidak ku lupa
di ruang mata terbayang selalu

MANAKAN SUDI


Anaklah ayam di dalam reban
mati seekor terkepit pintu
sudahlah tua rambut beruban
tak siapa sudi buat menantu

pohon meranti jauh di ceruk
patah menimpa pohon beringin
rambut beruban rupa pun buruk
harta tiada tak siapa teringin




HUTANG KASIH




Hanyut kolek patahnya layar
dilambung ombak laut gelora
hutang budi takkan terbayar
hutangnya kasih tidak terkira

Nampak condong si anak jati
habis di gayut si anak kera
hutanglah budi bawa ke mati
berhutang kasih dibalas mesra



ADUHAI



Langit kelam menjengah senja
kala mentari dibayangi malam
adinda manis senyuman manja
cinta kanda semakin mendalam

kelawar tidur bagai tergantung
pada ranting pohon meranti
buah hati pengarang jantung
setiap masa sentiasa di hati

pergi ke pasar membeli pari
disiang-siang di atas pangkin
hendak dipinang menjadi isteri
sudikah pada hamba yang miskin





ALAHAI


Berkilau emas sinar menerpa
kusamlah lagi cahaya suasa
puaslah sudah kanda menyapa
adinda membisu seribu bahasa

Kalau koyak tikar mengkuang
habis kotor lantai berdaki
diriku buruk bak kain terbuang
dijadikan orang pengesat kaki





NASIB KU




Kalau hangat si kuih bahulu
sedap dimakan bersama kopi
kalau beringat dari dahulu
tidaklah diriku tersisih ke tepi

Patahlah layar tali kemudi
hilang pedoman hala di laut
apakan daya orang tak sudi
hilanglah sudah tempat berpaut