Rabu, 11 Disember 2013

ADUHAI SIAPALAH SUDI


Patah terkulai si dahan meranti
Terbelit akar sangkut tergantung
Hidup seorang memakan hati
Hidup berdua berkerabu jantung

Seri bunga di pulau sembera
dipetik orang dalam perahu
bibir senyum nampak gembira
hati menangis siapalah tahu

Airlah sejuk bercampur selasih
di dalam gelas nampak berbayang
hendak merajuk pada yang kasih
mengharap belas dari yang sayang

Kalau pergi ke tanah seberang
Naik perahu bersama teman
Kumbang hitam hanya disarang
Kemboja senyum kembang di taman

Selasih berad di tapak tangan
Lalu disiram dipangkal berangan
Kekasih lama tinggal kenangan
Kekasih baharu hayalan angan

Bagaikan ikan terkena tuba
Lemas di air hanyut ke lata
Puas sudah hamba mencuba
Bahagia dicari bertandang derita

Bunga mawar di tepi perigi
Bunga cempaka di pinggir titi
Biarlah kasih berlalu pergi
Namun tidakkan ku cari ganti

Terbang megah si burung helang
tangkas mangsa ia menyerang
Biarlah kekasih pergi menghilang
daku rela ditinggalkan seorang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan