Jumaat, 16 September 2011

MENGENANG DIRI


 
di pagi hari turunlah embun
terkena pohon getah melekit
kaya orang harta bertimbun
kaya hamba dengan penyakit

di tengahari terik mentari
kering layu si daun cerpu
pandai orang bijak bestari
pandai hamba sering ditipu

di waktu petang cuaca redup
mentari berada di balik awan
orang cari kemewahan hidup
akhirnya aku ditinggal kawan

petang berlalu timbullah senja
mentari mula bercahaya muram
orang hidup bahagia sahaja
hamba miskin hidup pun suram

senja hilang malam pun tiba
bulan terbit cahayanya terang
hamba termenung meratap hiba
mengenang diri tinggal seorang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan