Jumaat, 17 Februari 2012

PENGORBANAN AYAH BONDA


Sesukar ayah ke bendang menyemai padi
menanti sebelum ianya  merunduk berisi
tanaklah beras yang masih tersimpan
dan masakan ikan kering masin untuk hidangan
ulam pegaga dan pucuk ubi rebus pembuka selera
itulah yang ada rezeki untuk santapan sekeluarga

Batang getah yang menggerutu diranggah jua
bersama nyanyian nyamuk membingit telinga
serta pacat lapar dahaga darah basah
menunggu kaki melangkah untuk diratah
berapa banyak tertumpah keringat ayah ibu ke tanah
demi menyuap mulut anak-anak kelaparan di rumah

Betapa ayah ibu tak kenal rintihan gelisah dan getir
walau resah tapi senyum manis tetap terukir di bibir
namun memerah segala kudrat nan masih bersisa
untuk pewarisnya celik menikmati sinar cahaya
menjadi penyuluh kehidupan di hari muka
moga tak senasib mereka merempuh onak derita

Kini ayah dan ibu telah kembali untuk selamanya
tiada lagi baginya makna tangis dan ketawa
meninggalkan seribu kenangan bahagia dan duka
memori berlagu kasih untuk yang ditinggalkan
ceritera tulus tertulis tinta tak pernah luput di ingatan
menjengah pentas sedu terlakar sebuah pengorbanan



2 ulasan:

  1. salam singgah diblog tokwan.pengorbanan ibubapa mmg tidak dpt dibalas.hanya doa dari anak soleh saja utk mereka.saya tak pernah merasai kasih syg dr mereka

    BalasPadam
  2. terima kasih,,, bersabarlah....tokwan turut simpati... berilah sepenuh kasih sayang pada pewaris kita pula....

    BalasPadam