Jumaat, 8 November 2013

HINANYA SI MISKIN


Anak seluang di dalam timba
Mati kerana putus ekornya
Apa dipandang kepada hamba
Rupa tiada harta tak punya

Dalam hati sudah tersirat
Dilihat dik mata sudah tersurat
Hina besi kerana berkarat
Hina hamba dagang merempat

Indah sungguh desa seberang
Udara bersih tidak tercemar
Rupa tiada berbudi kurang
Laku buruk orang tak gemar

Sungguh nyaman duduk di pangkin
Angin bertiup darilah bendang
Beginilah nasib hamba yang miskin
Tiada sesiapa sudi memandang

Pergi pasar membeli kerang
Lalu di bubuh ke raga rotan
Laku hamba serbalah kurang
Segala jasa menjadi umpatan

Bungalah mawar tangkai berduri
Mekar kembang di desa seberang
Bukan tujuan merendahkan diri
Hamba tersisih dihina dik orang

Kesana kesini si burung kuang
Buat sarang dipangkal berangan
Begitulah nasib diri terbuang
Ku hidup terpinggir keseorangan

Rumah di tepi sawahlah padi
Telah usang lama terbina
Cuba berjasa menabur budi
Mengapa diriku terus dihina

Bersarang burung pohon senia
Memakan buahnya berbiji biji
Beginilah hidup insan di di dunia
Yang miskin dihina si kaya dipuji




Tiada ulasan:

Catat Ulasan