Selasa, 4 Oktober 2011

SEORANG TUA MENITI SENJA



Seorang tua yang termanggu di sudut sepi
meniti senja di keluhan rasa seribu makna
asyik dipukau mentari duka bermega merah
bakal melabuh sauhnya di penjuru dunia
membawa sinar pagi ke rembang petang
kembali ke naluri hari di persada lena

Seorang tua sentiasa rajuk menerpa hati
kala menyapa gerimis tak mengenal erti
kerakusan mendung berarak sumbang di mata
tika ribut menggoncang pohon berselerak daun
pun dia terpaksa akur beserah pada Maha Pencipta
kerana tak mampu menongkah arus deras ombak bertahta

Seorang tua mencebik senyuman di bibir hitam
mengimbau istana bahagia terbina di bayangan silam
sesekali hiba mengalir airmata entah mengapa
mungkin mentafsir mimpi resah di belantara duka
atau merenung liku-liku hala menuju satu persimpangan
sebelum bertandang satu nokhtah akhir menjemputnya pulang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan