Rabu, 21 Ogos 2013

SINAR HARI KU


Kuntuman bunga cantik berseri
si kumbang jati datang mencari
tak sangka hujan di tengahari
asalkan petang bersinar mentari

Bunga yang layu terbiar hiba
ditinggal oleh si kumbang jati
bila senja bertandang tiba
tak perlu risau malam menanti

Mekar kembang bunga kemboja
pohonnya subur tumbuh melata
malam datang meninggal senja
bulan bercahaya di malam gelita

Isnin, 19 Ogos 2013

NALURI HARI


Bunga kembang bukan sekuntum
harum mewangi di tanah lembah
cuaca mendung guruh berdentum
belumnya tentu hujan menyimbah

Bunga kemboja tepi permatang
mekar kembang cantik berseri
disangka panas hingga ke petang
rupanya hujan turun ditengahari


Sabtu, 17 Ogos 2013

SEDU DI HATI


Seri bunga di pulau sembera

dipetik orang dalam perahu
bibir senyum nampak gembira
hati menangis siapalah tahu          

luncurlah buluh papan di titi
pakunya karat berbesi keluli
hancur luluh rasanya si hati
orang dikenang tiada peduli

Jumaat, 16 Ogos 2013

ADAT DI DUNIA


Rebus ketupat beras bertuai
tambah lemak santan kelapa
sudahlah dapat kawan sesuai
sahabatlah lama usah dilupa

Rebus ketupat di hari redup
esok hari syawal menjelang
sudah adat resamnya hidup
miskin dihina si kaya dijulang