Rabu, 11 Disember 2013

DIAM DISAKITI


Kelapalah tuan kelapa gading
Kelapanya hamba kelapa bali
Bila teringat masa bersanding
Terasa ingin berulang kembali

Hujanlah lebat di waktu senja
Tengah malam baru berhenti
Hilang tempat hendak bermanja
Tidakkan boleh ku cari ganti

Embun menitis sejak malam
Sejuk dan dingin ke pagi hari
Dalam hati kelam berbalam
Ku pujuk hati membawa diri

Hujan gerimis di pagi hari
Terasa sejuk dinginlah pula
Biarlahku pujuk hati sendiri
Semoga tenang ceria semula

Bunga mekar di dalam taman
Si kumbang jati hatinya ceria
Hidup sendiri tidak berteman
Dalam kesepian ada bahagia

patah terbelit dahan meranti
jatuh menjunam ke lurah bukit
bukan senang cari pengganti
selagilah hati ku terasa sakit

Tepi laman rumpun semalu
lalu ditebas teranglah sikit
biar ku luah perasaan pilu
jika berdiam hati ku sakit

KASIH SERI PINANG


Buah pinang di sulur mayang
dikaitlah orang dipotong dadu
bila hati sudah menyayang
sehari tak jumpa terasa rindu

rimbun tumbuh pohon selasih
ditanam orang di bendang padi
setimbun sayang sebukit kasih
terpautlah hati kerana budi

tanamlah selasih di tanah rata
tempat bersarang burung merpati
biarlah buruk dipandang mata
asalkan cantik dipandangan hati

burung jelatik terbang melayang
singgah sebentar di pohon meranti
dapat yang cantik bertambah sayang
kasih berpanjangan bawa kemati

ANGGERIK DESA


Anggeriklah desa bunga idaman
Sedang mekar serta berkembang
Unggul menjadi hiasan halaman
Sentiasa dipuja oleh si kumbang



ADINDA SANGSI


Ruas bercabang berdaun jarang
kelapalah muda getak ke paya
puas sudah berteruslah terang
kenapa adinda tidak percaya

Selendang putih anggun bergaya
Pakai kebaya bersama kain
Jikalau adinda tidak percaya
Bolehlah adinda cari yang lain

Petang hari berkebun lada
Buat batas di tanah rata
Putus kasih bertalak tiada
Putus harapan bawa derita

Di tepi rimba pohon berembang
Buah melayang ke tepi lata
Andai kekasih merasa bimbang
Apalah daya hendak ku kata

Rumah kecil tepi sempadan
tepi halaman bunga berkembang
selagi hayat dikandung badan
usahlah dikau merasa bimbang

Pohon berangan pohon berembang
Di tiup angin condong ke kiri
Jangan di hati menaruh bimbang 
Andainya sayang yakinkan diri

BURUNG DI SANGKAR


Sarung pedang darinya Semarang
Gayung pendekar berbadan sasa
burung ke sarang hatinya girang
burung di sangkar memendam rasa

Pedang sakti cantik bersarung
Senjata pusaka si orang Kerinci
Mata ku bebas badan terkurung
ingin ku lepas pintu terkunci

Bilalah senja sudahlah tiba
mentari mula masuk beradu
Burung di sangkar hatinya hiba
Tiada tempat hendak mengadu

ADUHAI SIAPALAH SUDI


Patah terkulai si dahan meranti
Terbelit akar sangkut tergantung
Hidup seorang memakan hati
Hidup berdua berkerabu jantung

Seri bunga di pulau sembera
dipetik orang dalam perahu
bibir senyum nampak gembira
hati menangis siapalah tahu

Airlah sejuk bercampur selasih
di dalam gelas nampak berbayang
hendak merajuk pada yang kasih
mengharap belas dari yang sayang

Kalau pergi ke tanah seberang
Naik perahu bersama teman
Kumbang hitam hanya disarang
Kemboja senyum kembang di taman

Selasih berad di tapak tangan
Lalu disiram dipangkal berangan
Kekasih lama tinggal kenangan
Kekasih baharu hayalan angan

Bagaikan ikan terkena tuba
Lemas di air hanyut ke lata
Puas sudah hamba mencuba
Bahagia dicari bertandang derita

Bunga mawar di tepi perigi
Bunga cempaka di pinggir titi
Biarlah kasih berlalu pergi
Namun tidakkan ku cari ganti

Terbang megah si burung helang
tangkas mangsa ia menyerang
Biarlah kekasih pergi menghilang
daku rela ditinggalkan seorang

RAYUAN RINDU


Gemersik irama hembusan bayu
Membelai dedaun pohonan kayu
Terusik di jiwa merajuk sayu
Rindu mendesak bibir merayu

Angin membelai si pohon sena
Ranting berdaun menimpa batu
Rindu sahabat jnun auh di sana
Tidakkan ku lupa setiap waktu

Merimbun di laman pohon selasih
Runduk ditimpa dahan mengkudu
Rindu bertatang pada yang kasih
Bawa bertemu meleraikan rindu

KASIH SELAYANG PANDANG


Pohon selasih melata di bukit
Benih dibawa angin melayang
Kasih pada mu bukan sedikit
Siang malam asyik terbayang

Benih selasih jauh melayang
Jatuh melata sampai ke bendang
Hati kasih rindu terbayang
Itulah sayang selayang pandang

Tumbuh selasih di atas bukit
Disebar angin benih melayang
Di mata suka di hati sakit
Namun masih disayang sayang

Selasih puan benih melayang
Selasih hamba bertuai hampa
Kasih puan ramai menyayang
Kasih hamba tiada sesiapa

Benih selasih tabur melayang
Tumbuh melata di batas bendang
Kasih di mata di hati sayang
Siang malam terpandang pandang

RINDU SI POHON BULUH


Buluh ditebang diraut-raut
Jari berdarah terkena sembilu
Padamu sayang hati terpaut
Ingin ku luahkan terasa malu

Pohon buluh ditebang-tebang
Dibuat bilah diracik-racik
Kalaulah rindu padalah abang
Begitulah abang rindukan adik