Isnin, 27 Februari 2012

RINTIHAN SEPI DONGENGAN MIMPI



Malam gelita semakin hampir berlalu
alam bagai kaku sunyi membisu
mata masih celik walau semakin layu
tak bisa pejam kerana fikiran bercelaru


jiwa terbuntang di tilam usang kematu
fikiran buntu beranjau simpang berliku
mainan kenangan diketukan detik sepi

teringat tika bersama mencorak jalur pelangi

kini hanya tinggal cerita dongengan mimpi
sesekali bertandang menyapa di lubuk hati

entah bila terpadam godaan kisah silam
dan berakhirnya gelora derita resah semalam

biarlah aku sendiri melayari lamunan
mengubati perasaan luka-luka kesedihan
untuk ku lupus tinggalan cebisan kasih bersisa

pada sebuah janji setia yang telah kau noda






Selasa, 21 Februari 2012

MEREMPUH DUGAAN

Di penghujung jalan mati
pertengahan simpang berselang seli
kiri beranjau ke kanan berbara api
terus melangkah bertebing tinggi

hendak ku daki tak berdaya lagi
kemana haluan harus ku ikuti
teraba-raba aku mencari
laluan selamat untuk ku lalui

masih adakah harapan bersisa baki
demi mencari taman bahagia sejati
biarlah terluka ditusuk onak berduri
atau rela hangus terbakar diri

biar ku pergi bersemangat jati
hendak mengalah jauh sekali
tetap dirempuhi jua senekad hati
walau seribu celaka sedia menanti

TERSASAR IMPIAN


SIAPALAH DIRI INI

 

Jumaat, 17 Februari 2012

PENGORBANAN AYAH BONDA


Sesukar ayah ke bendang menyemai padi
menanti sebelum ianya  merunduk berisi
tanaklah beras yang masih tersimpan
dan masakan ikan kering masin untuk hidangan
ulam pegaga dan pucuk ubi rebus pembuka selera
itulah yang ada rezeki untuk santapan sekeluarga

Batang getah yang menggerutu diranggah jua
bersama nyanyian nyamuk membingit telinga
serta pacat lapar dahaga darah basah
menunggu kaki melangkah untuk diratah
berapa banyak tertumpah keringat ayah ibu ke tanah
demi menyuap mulut anak-anak kelaparan di rumah

Betapa ayah ibu tak kenal rintihan gelisah dan getir
walau resah tapi senyum manis tetap terukir di bibir
namun memerah segala kudrat nan masih bersisa
untuk pewarisnya celik menikmati sinar cahaya
menjadi penyuluh kehidupan di hari muka
moga tak senasib mereka merempuh onak derita

Kini ayah dan ibu telah kembali untuk selamanya
tiada lagi baginya makna tangis dan ketawa
meninggalkan seribu kenangan bahagia dan duka
memori berlagu kasih untuk yang ditinggalkan
ceritera tulus tertulis tinta tak pernah luput di ingatan
menjengah pentas sedu terlakar sebuah pengorbanan



Jumaat, 3 Februari 2012

KEMANA TUJUAN HATI


Dari benih hanyir yang tumpah
bertaut subur di gerbang cinta
membentuk jasad roh dan nyawa

Edah dinanti mengetuk pintu
terpacul engkau ke alam nyata

menguak tangisan gempa gempita

Mula berbaring kini mengereng 
meniarap menjulur hingga merangkak 
lalu berdiri berjalan sampai berlari

Tika kecil di asuh ayah dan bonda
bila dewasa meninjau dunia
rezeki dicari di telapak tangan sendiri

Melangkah pada kehendak hati
merempuh hidup menuai jasa
atau menongkah laluan berliku

Tepuk dada tanya selera ....



SANJUNGAN BUDI